Moxy Putrajaya (17-18/2/2026)
Ini merupakan kali ketiga saya ke hotel ini yang terletak di IOI City Putrajaya. Lokasinya betul-betul bersebelahan dengan IOI City Mall. Hotel di bawah rangkaian Marriott ini telah memulakan operasinya pada Febuari 2024. Pada kali pertama ke sini saya telah menginap di bilik jenis Moxy Queen. Kali kedua pula saya menginap di bilik jenis Corner Queen Golf View. Pada kali yang ketiga ini saya telah memilih bilik jenis Booster Queen. Di aplikasi Trip.com bilik jenis ini berharga RM447. Harga ini telahpun termasuk cukai berserta sarapan pagi untuk dua orang.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.30 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi hotel. Lobi hotel ini terletak di tingkat bawah dan ianya agak luas dan cantik. Pengunjung agak ramai pada masa saya tiba tetapi proses daftar masuk agak cepat dan layanan kakitangan hotel sangat baik. Oleh kerana bilik saya telahpun sedia, saya terus diberi kad akses bilik. Saya menaiki lif untuk ke Tingkat 11 dan terdapat lima buah lif di hotel ini.
Bilik jenis Booster Queen ini berkeluasan 301 kaki persegi dan ianya lebih luas dari bilik jenis yang lain. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk sementara di sebelah kiri pula terdapat tempat untuk menyangkut pakaian yang terbuka. Selepas pintu bilik air terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini dan juga peti simpanan keselamatan. Di atas kabinet ini terdapat perkakas untuk membancuh minuman.
Di ruang katil pula selain satu katil queen terdapat satu sofa yang agak besar di sebelah kanan katil. Di hadapan sofa ini diletakkan satu meja bulat sederhana besar. Di penjuru kanan bilik terdapat satu meja kerja yang kecil serta satu kerusi untuk pengunjung melakukan kerja-kerja pejabat. Hotel ini menyediakan TV yang besar, bersaiz 60 inci yang dilekatkan di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan ke arah padang golf dan juga Hotel Le Meridien.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran (shower). Hotel ini menggunakan mangkuk tandas yang terdapat paip kecil di dalamnya dan tidak menyediakan gelung paip. Walaupun bilik airnya agak kecil tetapi ruang pancurannya agak luas dengan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancuran ini ditutupi dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap termasuklah berus gigi serta tuala tangan.
Hotel ini mempunyai kolam renang yang terletak di Tingkat 2 dan saiznya agak besar. Ianya mengadap ke Bangunan IOI City Mall. Waktu kolam renang ini dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 9 malam. Kolam renangnya agak cantik cuma saya tidak begitu gemar dengan susunan perabutnya yang kelihatan sangat padat. Bersebelahan kolam renang ini terdapat sebuah gimnasium yang beroperasi 24 jam.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mencapai kelajuan 67mbps. Untuk telco pula, CelcomDigi mencapai kelajuan 561mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV percuma yang agak banyak dan kebanyakkannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat dan saya sangat suka mandi di pancurannya. Hotel ini tidak menyediakan seterika di setiap bilik sebaliknya menyediakan bilik khas yang terletak di luar bilik.
Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di lobi hotel. Hotel ini menyediakan menu sarapan yang agak ringkas dan tidak terlalu pelbagai. Hotel ini ada menyediakan parkir khas yang terletak di sebelah parkir mall dan ianya adalah percuma untuk pengunjung hotel.
Interior hotel ini sangat cantik dan sangat sesuai kepada yang suka bergambar (ootd) cuma susunan perabutnya agak padat. Banyak sudut hotel ini sesuai untuk mengambil gambar termasuklah lobinya. Di lobi juga terdapat pelbagai permainan disediakan. Lokasi hotel ini terletak bersebelahan dengan IOI City Mall memudahkan pengunjung membeli-belah ataupun makan di mall tersebut. Hotel ini tidak begitu sesuai kepada pengunjung yang berkeluarga besar kerana biliknya yang sempit. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini letaknya 9.2 km dari Putrajaya Sentral. Pengunjung bolehlah menaiki MRT ataupun ERL ke stesen tersebut sebelum mengambil e-hailing untuk ke hotel.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui perkembangan staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎
Moxy Putrajaya: Trải nghiệm phòng Booster Queen và tiện ích
