Marriott Kota Kinabalu: Trải nghiệm phòng rộng, hồ bơi vô cực đẹp

Marriott Kota Kinabalu: Trải nghiệm phòng rộng, hồ bơi vô cực đẹp

Hotel Marriott Kota Kinabalu (12-13/1/2026)
Untuk percutian saya di Kota Kinabalu selama 4 hari 3 malam, saya memilih tiga buah hotel di bawah rangkaian Marriott. Hotel pertama ini letaknya di Jalan Tun Fuad Stephens dan telah memulakan operasinya sejak Julai 2018. Saya memilih bilik jenis Guest Room, 1 King. Bilik jenis ini adalah termurah di hotel ini. Di aplikasi Marriott Bonvoy bilik jenis ini berharga RM388.
Saya tiba di hotel agak awal kira-kira pukul 11.50 pagi. Saya terus sahaja mendaftar masuk dan bernasib baik kerana bilik telahpun sedia. Saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 8 di mana bilik saya berada. Masa untuk menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung tidaklah ramai.
Dengan keluasan 387 kaki persegi biliknya agak luas. Sebaik masuk terdapat bilik air dan ruang menyimpan beg di sebelah kiri. Ruangnya ditutupi oleh dinding gelongsor yang boleh dibuka dan ditutup. Di sini terdapat juga tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Seterika dan papan seterika juga terdapat di sini. Di ruang ini juga terdapat singki, tandas serta ruang pancuran. Ruang pancurannya ditutupi dengan cermin yang seratus peratus lutsinar dan di dalamnya disediakan dua jenis pancuran. Hotel ini tidak menyediakan gelung paip di sebelah mangkuk tandas. Terdapat peralatan mandian yang lengkap disediakan di hotel ini.
Di ruang bilik pula selain satu katil king terdapat sebuah sofa yang agak besar di sebelah kiri katil. Di hadapan sofa ini terdapat sebuah meja bulat yang sederhana besar. Di penjuru kiri kaki katil pula terdapat sebuah kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh minuman. Berhadapan dengan katil pula terdapat meja panjang di mana disediakan satu bangku untuk pengunjung duduk sambil melakukan kerja pejabat. TV berukuran 60 inci pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Hotel ini mempunyai kolam renang infiniti yang terletak di Tingkat 8. Kolam renangnya besar dan mempunyai pemandangan yang sangat cantik. Ianya dibuka dari pukul 6 pagi sehingga pukul 8 malam. Di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium dan sauna.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 30mbps sementara untuk telco pula Tune Talk mempunyai kelajuan 689mbps dan CelcomDigi pula 555mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak serta di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma airnya sangat lambat untuk panas.
Untuk sarapan pula, ianya adalah di restoran yang terletak di tepi kolam renang iaitu di Tingkat 8. Hotel ini menyediakan menu sarapan yang pelbagai. Sambil menikmati sarapan pagi pengunjung dapat menikmati pemandangan yang sangat cantik dari restorannya.
Hotel ini baru 7 tahun beroperasi tetapi saya merasakannya ianya seolah-olah lebih lama dari itu. Saya tidak begitu gemar dengan biliknya di mana ruang menyimpan barang-barang adalah di dalam bilik mandi. Kawasan di sekitar kolam renangnya juga tidak begitu bersih terutama jubin di luarnya yang nampak sudah hitam. Apa yang menarik tentang hotel ini ialah pemandangannya yang sangat cantik. Dari segi lokasi pula ianya terletak di tengah-tengah Kota Kinabalu, hanya 650 meter dari Puast Membeli Belah Imago dan 6.8 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Untuk mengikuti perkembangan staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎


Đăng nhận xét

Mới hơn Cũ hơn