Wyndham Suites KLCC (7-8/1/2026)
Suites ini terletak di Jalan Changkat Kia Peng iaitu di belakang bangunan Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Walaupun bangunan ini dikenali sebagai Wyndham Suites, terdapat unit-unit yang bukan di bawahnya. Unit-unit ini dikendalikan pihak ketiga dan unit yang saya inap ini dikenali dengan nama 8 Kia Peng. Saya membuat tempahan menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Petronas Twin Towers View Business Suite. Harga suite ini ialah RM219.70. Harga ini tidak termasuk sarapan pagi tetapi telah termasuk cukai.
Proses untuk daftar masuk sangat mudah di mana pengunjung perlu mengambil kad akses di dalam peti surat yang terletak di Tingkat B1. Sebelum daftar masuk pihak pengurusan akan menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp cara-cara untuk daftar masuk serta no pin peti surat. Saya tiba kira-kira pukul 3.30 petang di suite dan terus sahaja ke Tingkat B1. Ada dua kad disediakan, satu untuk menaiki lif dan satu lagi untuk memasuki suite.
Wyndham Suite ini mempunyai dua bahagian dan suite yang saya inap ini terletak di sebelah timur (east). Terdapat dua buah lif di sini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama oleh kerana pengunjung tidaklah ramai. Business Suite ini mempunyai keluasan 742 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan dua bilik air.
Sebaik memasuki suite terdapat bilik kedua di sebelah kanan pintu masuk. Saiz biliknya kecil sahaja yang menempatkan satu katil bujang dan sebuah almari. Di sebelah kiri pula adalah bilik air kedua yang mempunyai singki, tandas dan juga pancuran. Saiz bilik airnya juga kecil. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandasnya.
Kemudian adalah kabinet untuk ruang dapur yang menempatkan dapur letrik serta sebuah ketuhar gelombang mikro. Suite ini ada menyediakan peralatan asas untuk memasak. Terdapat juga sebuah cerek letrik untuk pengunjung memasak air kerana tiada air minuman disediakan. Terdapat dua buah kerusi di sini. Selepas ruang dapur ialah ruang tamu yang menempatkan sebuah sofa berbentuk L yang besar. Di hadapan sofa ini terdapat sebuah meja bulat yang besar dan di tepinya pula sebuah lagi meja bulat tetapi saiznya lebih kecil. TV bersaiz 55 inci digantung di dinding bertentangan dengan sofa. Di tengah-tengah ruang tamu terdapat satu ruang yang boleh ditutup yang menempatkan mesin basuh dan juga seterika serta papan seterika.
Bilik tidur utama pula agak luas yang menempatkan sebuah katil king. Di sebelah kiri terdapat almari baju yang besar dan di sebelah kanan pula terdapat meja panjang serta sebuah bangku untuk pengunjung membuat kerja-kerja pejabat. Di sebelah kiri dan kanan katil terdapat lampu tidur. Di dalam biliknya juga terdapat sebuah lagi TV yang juga bersaiz 55 inci.
Bilik air utama letaknya di sebelah kiri almari dan saiznya kecil sahaja. Ianya menempatkan singki, tandas dan juga ruang pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandasnya dan ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Suite ini hanya menyediakan tuala mandi serta berus gigi.
Wifi percuma di dalam bilik pula sangat laju di mana kelajuannya mencecah 540mbps (muat turun) dan 346mbps (muat naik). Untuk telco pula, Tune Talk mempunyai kelajuan 255mbps sementara CelcomDigi pula 68mbps. Kedua-dua TV pula adalah Smart TV tanpa siaran TV percuma. Saya sangat berpuas hati dengan tekanan air di bilik mandinya.
Suite ini mempunyai kolam renang infiniti yang besar yang terletak di Tingkat 8. Waktu kolam renang dibuka ialah pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 10 malam. Juga terdapat sebuah gimnasium di aras yang sama. Di tepi kolam renang terdapat sebuah tempat permainan kanak-kanak yang agak besar yang dinamakan Wynsports tetapi ianya bukanlah percuma. Di tingkat paling atas pula iaitu di Tingkat 48 terdapat tempat untuk bermain salji yang dinamakan Wynsnow. Tiket untuk masuk ke sini ialah RM50. Untuk proses daftar keluar pengujung hanya perlu meletakkan kembali kad akses ke dalam peti surat.
Suite ini bukan sahaja luas tetapi sangat bersih. Biliknya yang mengadap ke Menara Berkembar Petronas sangat cantik terutama di waktu malam. Harganya juga murah jika dibandingkan dengan Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Lokasinya juga berdekatan dengan Stesen MRT Conlay, hanya 3 minit jika berjalan kaki. Terdapat jalan pintas dari suite untuk ke Stesen MRT Conlay melalui celah bangunan antara Imperial Lexis dan juga Marriott Executive Apartments. Jika pembaca ingin mencari suite untuk sekeluarga berhampiran dengan KLCC dan Bukit Bintang yang mana harganya tidaklah mahal, suite ini bolehlah dijadikan pilihan.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Untuk mengetahui lebih dekat berkenaan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😎
Wyndham Suites KLCC: Trải nghiệm căn hộ 2 phòng ngủ view tháp đôi giá hời
