Trigo Hotel Kuala Lumpur: Trải nghiệm 4-5/12/25 đáng tiền

Trigo Hotel Kuala Lumpur: Trải nghiệm 4-5/12/25 đáng tiền



Trigo Hotel Kuala Lumpur (4-5/12/25)
Hotel ini terletak di Jalan Raja Laut Kuala Lumpur, dahulunya dikenali sebagai Plaza Grand Hotel. Selepas diambil alih oleh Wyndham, ianya ditukar kepada Trigo Hotel. Hotel ini baru sahaja dibuka semula selepas menjalani proses ubahsuai secara besar besaran. Saya membuat tempahan bilik melalui website hotel kerana hotel ini mengadakan promosi bersempena dengan pembukaannya. Jika menginap di sini pengunjung akan mendapat sarapan percuma berserta 24 jam penginapan. Saya telah memilih bilik Deluxe yang berharga RM149.50.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.15 petang dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di lobi. Lobinya agak luas dan kelihatan masih baharu. Selain lobi terdapat sebuah restoran di tingkat bawah hotel ini. Proses daftar masuk sekejap sahaja dan hotel ini mengenakan bayaran deposit sebanyak RM100. Selepas mendapat kad akses bilik saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 6. Terdapat tiga buah lif dan ianya tidak memerlukan kad untuk naik mahupun turun.
Bilik Deluxe ini mempunyai keluasan 301 kaki persegi dan agak luas. Sebaik memasuki bilik terdapat almari pakaian di sebelah kiri pintu masuk dan di sebelah kanan pula letaknya bilik air. Saiz almari pakaianya agak besar. Di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju dan juga seterika serta papan seterika. Juga terdapat peti simpanan keselamatan di dalam almari ini.
Di ruang katil pula selain satu katil queen terdapat satu sofa bujang di sebelah kanan katil. Di sebelah kanan sofa pula terdapat meja empat segi yang kecil. Di sebelah kiri kaki katil terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman. Meja kerja pula terletak di sebelah kanan kaki katil dan saiznya agak besar. Di sini juga terdapat kerusi dan di atas meja ini terdapat pula satu lampu bacaan. Bertentangan dengan kaki katil juga terdapat TV berukuran 40 inci yang digantung di dinding. Bilik ini mempunyai tingkap kecil yang mengadap ke bahagian belakang hotel.
Bilik airnya pula kecil sahaja menempatkan singki, tandas dan juga ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya pula separa tertutup dengan cermin yang seratus peratus lutsinar. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian yang asas termasuklah berus gigi dan tuala muka.
Sarapan pula adalah di restoran yang terletak di lobi. Buat masa ini sarapannya secara ala carte sahaja di mana pengunjung perlu memilih antara dua menu, nasi lemak ataupun makanan western. Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana kelajuannya mencecah 50mbps untuk muat naik dan juga muat turun. CelcomDigi pula mempunyai kelajuan 237mbps sementara Tune Talk 177mbps. Hotel ini hanya menyediakan Google TV tanpa siaran percuma. Tekanan air di bilik mandi pula kuat.
Secara keseluruhannya hotel ini memang kelihatan baharu, cuma terdapat beberapa bahagian sahaja yang tidak ditukar. Almarinya masih lagi sama, cuma pintunya sahaja yang ditukar baharu. Ruang singki dan sebahagian dinding bilik air juga masih lagi yang lama. Biliknya agak cantik cuma saya tidak suka dengan pencahayaan di dalam biliknya yang suram dan tidak seimbang, terdapat ruang yang gelap tanpa cahaya lampu.
Selain itu walaupun hotel ini mempunyai parkir percuma, tidak terdapat lif untuk ke lobi. Pengunjung perlu menaiki tangga dan ruang parkirnya juga masih lama, masih dalam proses ubahsuai. Oleh kerana hotel ini terletak di tepi Jalan Raja Laut, ianya agak bising dengan bunyi kenderaan di malam hari. Hotel ini juga tidak mempunyai kolam renang.
Dengan harga sekitar RM150 ianya sangat berbaloi bagi saya untuk menginap di hotel ini. Dari segi lokasi pula, hotel ini terletak berhampiran dengan Pasar Chow Kit, iaitu hanya 650 meter sahaja. Jarak untuk ke World Trade Centre (WTC) hanyalah 900 meter. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, stesen LRT yang paling hampir ialah Stesen LRT Sultan Ismail iaitu kira-kira 350 meter dari hotel.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke penulisan saya di group ini. Jika ingin mengetahui perkembangan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😆

Đăng nhận xét

Mới hơn Cũ hơn