Sleeping Lion Suites Kuala Lumpur (7-8/12/2025)
Minggu ini saya kembali ke satu hotel yang pernah saya inap sebanyak dua kali, kali terakhir ialah pada Oktober 2023. Hotel yang terletak di Bukit Bintang Kuala Lumpur ini telah memulakan operasinya pada 1 Jun 2023. Lokasi hotel ini ialah di Jalan Walter Granier iaitu di belakang Fahrenheit dan juga Hotel JW Marriott. Pada kali ini saya memilih bilik jenis Superior King yang berharga RM221.33 di aplikasi Trip.com. Harga ini telah pun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 4.44 petang dan terus sahaja ke lobi hotel yang terletak di tingkat bawah. Hotel ini mempunyai lobi yang agak kecil dan selain kaunter terdapat juga sebuah kafe di aras yang sama. Pada masa saya tiba orang telahpun ramai menunggu di ruang lobi. Hotel ini menggunakan sistem nombor untuk proses pendaftaran (check-in). Saya telah mendapat nombor 1174 dan ketika itu nombor yang sedang diservis ialah 1170. Walaupun orang sangat ramai tetapi servisnya sangat efisien. Selepas mendapat kad akses bilik saya terus menaiki lif untuk ke tingkat 32. Terdapat lima buah lif di hotel ini dan walaupun orang ramai, masa menunggu lif tidaklah lama.
Bilik jenis superior ini kecil sahaja, hanya berkeluasan 226 kaki persegi. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kiri pintu masuk. Di ruang katil selain satu katil king terdapat satu sofa kecil di sebelah kiri katil. Di sudut kiri bilik terdapat satu meja solek yang kecil. Di sebelah kanan katil pula terdapat tempat untuk menyangkut baju yang terbuka. Di sini juga terdapat peti sejuk mini serta peti simpanan keselamatan. Hotel ini ada menyediakan seterika dan papan seterika serta peralatan untuk membancuh minuman. Di dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat TV berukuran 50 inci.
Bilik airnya sangat kecil menempatkan singki, tandas dan ruang untuk pancuran (shower). Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula ada disediakan pancuran jenis siling dan juga pegang. Ruang pancurannya agak sempit ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Peralatan mandian lengkap disediakan termasuklah berus gigi dan tuala tangan. Bilik yang saya inap ini mempunyai pemandangan yang sangat cantik iaitu mengadap ke Bangunan TRX.
Satu keistimewaan hotel ini ialah kolam renangnya yang terletak di atas bangunan (rooftop) iaitu di tingkat 37. Saiz kolam renangnya agak besar dan ianya mengadap ke Pavilion. Di samping kolam renang dewasa, terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak yang bersaiz kecil. Kolam renang ini dibuka dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Pemandangan dari kolam renang ini sangat cantik terutamanya di waktu malam. Terdapat satu ruang di mana pengunjung boleh melihat bahagian belakang hotel yang mengadap ke Bangunan TRX. Kolam renang hotel ini sangat ramai pengunjung kerana kolam renangnya juga boleh digunakan oleh pengunjung yang menginap di Axon Residen yang terletak bersebelahan. Hotel ini ada menyediakan gimnasium tetapi terletak di bangunan Axon Residen yang dihubungkan dengan jejantas di tingkat yang sama. Di tingkat 10 terdapat satu taman yang cantik serta tempat permainan kanak-kanak dan juga tempat untuk bersenam.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan agak laju di mana ianya mencecah 29mbps. Untuk telco pula CelcomDigi mencapai kelajuan 457mbps sementara Tune Talk pula hanya 32mbps. Untuk siaran TV pula, hotel ini menyediakan siaran TV yang banyak dan di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat. Untuk yang membawa kenderaan sendiri, hotel ini mempunyai banyak parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran RM10 untuk sekali masuk ataupun sehari. Untuk proses daftar keluar (check-out) pula, ianya sangat cepat kerana hanya perlu memulangkan kembali kad akses bilik.
Seperti ulasan saya sebelum ini saya suka menginap di sini disebabkan pemandanganya yang sangat cantik dari atas bangunan (rooftop). Walaupun hotel ini hanyalah bertaraf 3 bintang tetapi ianya menyediakan fasiliti yang lengkap. Saiz biliknya kecil tetapi bersih dan dari segi lokasi pula hotel ini sememangnya strategik kerana terletak di antara Exchange TRX dan juga Pavilion, jadi pengunjung bolehlah bersiar-siar di kedua-dua mall tersebut. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak hanyalah 240 meter dari stesen MRT Bukit Bintang. Jika pembaca tidak kisah dengan biliknya yang kecil, hotel ini boleh dijadikan pilihan jika berkunjung ke Bukit Bintang cuma elakkan berkunjung di hujung minggu kerana hotel ini sangat ramai pengunjung.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika pembaca ingin mengetahui perkembangan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😘
Sleeping Lion KL: Trải nghiệm khách sạn 3 sao tiện nghi, view đẹp
