Mossaz Suites Kuala Lumpur: Trải nghiệm tại Empire City & Hextar World

Mossaz Suites Kuala Lumpur: Trải nghiệm tại Empire City & Hextar World



Mossaz Suites Kuala Lumpur (22-23/12/2025)
Oleh kerana saya ingin bersiar-siar di Hextar World, saya memilih untuk menginap di salah satu suite yang terdapat di Empire City, Damansara. Saya pernah ke Empire City ini tetapi menginap di Paxtonz Suites. Mossaz dan Paxtonz ini terletak bersebelahan dan ianya terletak di belakang Hextar World. Saya menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Deluxe Studio yang berharga RM104.95. Harga ini tanpa sarapan pagi tetapi telahpun termasuk cukai. Suites ini mempunyai banyak tuan rumah (host) dan bilik yang saya inap ini adalah di bawah MyKey.
Saya tiba di suite ini pada pukul 3.25 petang dan terus sahaja ke kaunter untuk mendaftar masuk. Lobinya kecil sahaja yang terletak di tingkat bawah. Di lobinya hanya terdapat kaunter pendaftaran serta beberapa unit sofa. Ketika saya tiba terdapat agak ramai pengunjung untuk mendaftar masuk tetapi proses pendaftarannya agak cepat. Selepas mendapat kad akses lif dan juga bilik, saya terus menaiki lif untuk ke Tingkat 33A. Terdapat lima buah lif di suite ini dan masa untuk mendapatkan lif agak lambat.
Dengan keluasan 322 kaki persegi bilik jenis Deluxe studio ini agak luas kerana bilik airnya yang kecil. Ianya sangat ringkas tanpa banyak perabut. Sebaik memasuki bilik terdapat ruang dapur di sebelah kanan pintu masuk yang menempatkan singki serta satu unit ketuhar gelombang mikro. Peralatan untuk membancuh minuman seperti gelas juga tersedia di sini. Di bawah kabinet ini terdapat sebuah peti sejuk mini.
Selain sebuah katil queen, suite ini hanya menyediakan sebuah meja bulat serta dua buah kerusi, yang diletakkan di sebelah kanan katil. Suite ini menyediakan tempat untuk menyangkut baju dan menyimpan beg yang terbuka. Di sini juga terdapat seterika serta papan seterika. TV berukuran 40 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik air pula terletak di sebelah kiri pintu masuk dan saiznya kecil sahaja. Ianya menempatkan singki, tandas serta ruang untuk pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan ruang pancurannya adalah terbuka. Suite ini ada menyediakan pemanas air tetapi hanya terdapat satu jenis pancuran sahaja. Hanya tuala mandi dan berus gigi sahaja disediakan, selain gel mandian dan juga syampu rambut.
Sepert Paxtonz, Mossaz Suites juga mempunyai kolam renang di atas bangunan (rooftop) tetapi kolam renang Mossaz adalah terbuka. Ianya terletak di Tingkat 39 dan dibuka dari pukul 7 pagi hingga 10 malam. Saiz kolam renangnya agak luas. Selain kolam renang, di atas bangunan ini juga terdapat sebuah gimnasium.
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 106mbps. Rangkaian telco pula tidak begitu baik mungkin disebabkan kawasan ini masih dalam pembinaan. CelcomDigi mempunyai kelajuan 93mbps sahaja sementara Tune Talk pula hanya 33mbps. Suite ini menyediakan Smart TV tanpa siaran TV percuma. Tekanan air di bilik mandi pula kuat.
Jika ditanya manakah yang lebih saya suka antara Mossaz dan Paxtonz, saya akan memilih Paxtonz. Paxtonz Suites lebih cantik, begitu juga biliknya yang nampak lebih kemas dibandingkan Mossaz yang sangat ringkas. Perlu diingat semasa menginap di Paxtonz Suites, hosnya adalah Sama Sama dan bukannya MyKey. Jika pembaca ingin bersiar-siar di Empire City terutamanya Hextar World, dua suite ini bolehlah dijadikan pilihan. Empire City ini sememangnya cantik terutamanya pusat membeli belah Hextar World. Berada di dalamnya kita seolah-olah berada di luar negara, cuma buat masa sekarang kebanyakan kedai masih belum dibuka. Saya difahamkan ianya akan mula penuh pada Febuari nanti. Seperkara lagi seperti kebanyakan suite yang lain, lif akan menjadi sedikit masalah jika berkunjung semasa cuti sekolah dan cuti umum.
Empire City ini merupakan kawasan baru dan ianya masih belum siap sepenuhnya. Ianya memang cantik kerana rekabentuk bangunannya yang unik. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam, bolehlah menaiki MRT dan turun di Stesen MRT Mutiara Damansara yang terletak 4 km dari Empire City.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil. Saya sertakan juga gambar-gambar Hextar World dan juga sekitar Empire City. Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengikuti staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😁

Đăng nhận xét

Mới hơn Cũ hơn