Marriott Petaling Jaya (1-2/1/2026)
Untuk pembukaan tahun 2026 ini saya memilih satu hotel yang baru sahaja beroperasi. Hotel ini letaknya di Seksyen 16 Petaling Jaya. Dahulu hotel ini dikenali sebagai Eastin Petaling Jaya sebelum diambil alih oleh Marriott dan dibuka pada 28 Disember 2025. Saya memilih bilik jenis Deluxe Guest yang berharga RM616 di aplikasi Marriott Bonvoy.
Saya tiba di hotel agak awal kira-kira pukul 1.45 tengahari dan terus sahaja ke kaunter yang terletak di tingkat bawah. Memasuki sahaja lobinya saya dapat merasakan perbezaan yang sangat ketara jika dibandingkan dengan Hotel Eastin dahulu. Proses daftar masuk hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Oleh kerana bilik saya belum lagi siap, saya terlebih dahulu diminta untuk duduk.
Kira-kira pukul 2.10 petang kakitangan hotel menghampiri saya untuk menyerahkan kad akses bilik. Saya terus menaiki lif untuk ke bilik saya yang terletak di Tingkat 5. Terdapat empat buah lif di hotel ini dan masa untuk menunggu lif tidaklah lama kerana pengunjung masih tidak ramai. Bilik yang saya inap ini mempunyai keluasan 398 kaki persegi dan ianya sangat berbeza dengan bilik Hotel Eastin dahulu. Memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk sebelum sampai ke ruang katil.
Di ruang katil selain satu katil king terdapat almari pakaian di sebelah kiri katil. Di dalamnya terdapat seterika serta papan seterika serta dua pasang jubah mandi. Juga terdapat peti simpanan keselamatan di dalamnya. Di sebelah almari ini terdapat satu para untuk pengunjung meletakkan beg dan barang-barang mereka. Di sebelah kanan katil pula terdapat satu sofa panjang yang agak besar. Di hujungnya diletakkan satu meja bulat. Hotel ini tidak menyediakan meja kerja. Di penjuru kanan kaki katil terdapat satu kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta peralatan untuk membancuh minuman. TV berukuran 60 inci digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil.
Bilik airnya pula agak luas yang menempatkan singki, ruang tandas serta ruang pancuran. Ruang tandasnya ada menyediakan gelung paip dan di ruang pancuran pula terdapat pancuran jenis siling dan pegang. Ruang pancurannya ditutupi sepenuhnya dengan cermin lutsinar dan ruang tandasnya pula ditutupi dengan cermin yang lutcahaya. Hotel ini ada menyediakan peralatan mandian yang lengkap dan ianya serba serbi baharu.
Kolam renang hotel ini letaknya di Tingkat 3 dan ianya masih lagi sama ketika dikenali sebagai Hotel Eastin dahulu. Kolam renangnya mempunyai bentuk yang cantik, begitu juga lanskapnya. Kolam renang hotel ini dibuka dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Di atas kolam renang ini terdapat sebuah gimnasium. Bukan sahaja bangunannya masih lagi baharu, peralatan di dalamnya juga serba serbi baharu. Bersebelahan dengan bangunan gimnasium ini terdapat gelanggang tenis.
Di dalam bilik wifi yang disediakan agak laju tetapi tidak begitu stabil, mungkin disebabkan hotel ini baru sahaja beroperasi. Untuk muat turun kelajuannya mencecah 220mbps dan untuk muat naik pula 234mbps. Bagi rangkaian telco pula, CelcomDigi mencapai kelajuan 430mbps sementara Tune Talk pula 243mbps. Siaran TV percuma agak banyak dan ianya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik air pula kuat.
Oleh kerana restoran utama yang terletak di lobi masih lagi belum siap diubahsuai, sarapan pagi adalah di sebuah lagi restoran yang terletak di belakang kaunter. Walaupun baru sahaja memulakan operasi, hotel ini menyediakan menu sarapan yang agak banyak secara buffet. Nasi lemak di hotel ini bagi saya adalah antara nasi lemak yang sedap.
Bagi saya harga yang dikenakan agak mahal kerana hotel ini masih lagi dalam proses ubahsuai (renovation) dan masih banyak lagi yang belum selesai. Mengikut kakitangan yang bertugas buat masa ini hanya bilik di Tingkat 4 dan 5 sahaja yang dibuka selebihnya masih dalam proses ubahsuai, oleh itu di siang hari ianya agak bising.
Dari segi lokasi pula hotel ini agak terasing kerana terletak di kawasan bangunan pejabat. Tidak terdapat kedai makan atau restoran untuk pengunjung makan di luar, hanya sebuah kedai serbaneka sahaja. Walau bagaimanapun bagi yang menggunakan pengangkutan awam, ianya agak dekat dengan Stesen MRT Phileo Damansara, hanya kira-kira 500 meter sahaja. Hotel ini ada menyediakan parkir tetapi ianya bukanlah percuma, pengunjung akan dikenakan bayaran sebanyak RM5.
Saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di hotel ini. Jika pembaca ingin membaca ulasan hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengetahui perkembangan staycation saya dengan lebih dekat, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😘
Marriott Petaling Jaya: Trải nghiệm phòng Deluxe 616RM mới khai trương
