The Oak Suite at Menara M101 Kuala Lumpur (10-11/12/2025)
Hari ini saya kembali ke satu hotel yang dahulunya menjadi kegemaran saya oleh kerana biliknya yang besar serta cantik. Bukan itu sahaja, harganya juga murah, di sekitar RM100 sahaja. Dahulunya suite ini dikenali sebagai Red by Sirocco sebelum ditukar kepada Menara M101. Ianya terletak di Jalan Kamunting, bersebelahan dengan Hotel Stripes. Pada masa sekarang suite ini dikendalikan oleh banyak host. Saya membuat tempahan menggunakan aplikasi Booking.com dan bilik yang saya inap ini berharga RM90.07. Harga ini telahpun termasuk cukai tetapi tanpa sarapan pagi.
Saya tiba kira-kira pukul 3 petang dan berjumpa dengan kakitangan yang bertugas. Saya terus diberi kad akses untuk lif dan juga kad akses untuk bilik. Bilik yang saya inap ini terletak di Tingkat 12. Hanya terdapat dua buah lif di suite ini. Oleh kerana pengunjung tidaklah ramai, masa untuk mendapatkan lif tidaklah lama.
Bilik di suite ini sememangnya besar, mempunyai keluasan 484 kaki persegi. Interiornya mempunyai konsep warna merah dan hitam. Sebaik memasuki bilik terdapat bilik air di sebelah kanan pintu masuk. Di tepi pintu bilik air terdapat satu almari yang kecil. Di dalamnya terdapat tempat untuk menyangkut baju serta peti simpanan keselamatan. Juga terdapat seterika dan papan seterika.
Di bahagian katil pula selain satu katil king terdapat satu meja kerja di sudut kanan kaki katil. Di hadapan meja kerja ini terdapat satu sofa bujang. Di sebelah kanan katil terdapat satu kabinet yang menempatkan cerek letrik serta gelas. Host ini tidak menyediakan teh ataupun kopi, hanya dua botol air minuman sahaja. Di sebelah kabinet ini terdapat satu peti sejuk yang besar. TV berukuran 40 inci pula digantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Unit yang saya inap ini mempunyai balkoni yang mengadap ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Bilik airnya pula ditutupi dengan pintu gelongsor yang tidak boleh dikunci. Saiznya kecil sahaja di mana di tengah-tengah terdapat dua buah singki. Di sebelah kiri terdapat mangkuk tandas yang mempunyai gelung paip. Di sebelah kanan pula terdapat ruang mandi (shower) yang ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Di dalamnya terdapat dua jenis pancuran. Host ini hanya menyediakan tuala mandi, gel mandian serta syampu sahaja.
Sebenarnya bangunan Menara M101 ini mempunyai kolam renang yang cantik yang terletak di atas bangunan (rooftop). Kolam renangnya agak besar di mana di malam hari ianya mempunyai cahaya berwarna merah. Pemandangan dari kolam renangnya juga cantik kerana mengadap ke Menara Kuala Lumpur dan kelihatan sebahagian Menara Berkembar Petronas. Dahulu di atas ini terdapat sebuah bar tetapi sekarang ini ianya telah ditutup untuk proses pengubahsuaian (renovation).
Di dalam bilik wifi percuma yang disediakan mempunyai kelajuan 25mbps sementara untuk telco pula, CelcomDigi mempunyai kelajuan 359mbps dan Tune Talk pula 73mbps. Host ini hanya menyediakan siaran TV asas sahaja tetapi di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat cuma pancurannya tidak berfungsi dengan baik di mana air keluar dari kedua-dua pancuran ketika saya mandi.
Suite ini menyediakan bilik yang luas dengan harga yang murah. Jika pembaca tidak kisah dengan keadaan biliknya yang sudah agak lama serta tanpa fasiliti yang lengkap, suite ini bolehlah dijadikan tempat bermalam untuk bersiar-siar di sekitarnya. Suite ini letaknya berdekatan dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), hanya 750 meter untuk ke SOGO dan Kompleks Pertama. Ianya juga terletak berhampiran dengan Jalan Doraisamy yang terkenal dengan supnya yang sedap. Di bawah bangunan pula terdapat satu restoran yang terkenal, Black & White Kampung Heritage.
Bagi yang membawa kenderaan, suites ini ada menyediakan parkir yang menggunakan lif tetapi ianya dikenakan bayaran RM10. Kepada yang menggunakan pengangkutan awam pula, suite ini letaknya 500 meter dari Stesen LRT dang Wangi.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil semasa menginap di sini. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengikuti perkembangan staycation saya, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😊
The Oak Suite: Phòng 484 ft² giá rẻ tại KL
