Sunway Putra Hotel (5-6/12/2025)
Hari ini saya kembali ke hotel ini, hotel yang paling kerap saya inap sepanjang staycation saya. Bekas hotel Legend ini terletak di Jalan Putra bertentangan dengan World Trade Centre (WTC) dan juga Hotel Seri Pacific. Pada kali ini saya membuat tempahan bilik menggunakan aplikasi Trip.com dan memilih bilik jenis Deluxe yang berharga RM288.24. Harga ini telahpun termasuk cukai juga termasuk sarapan pagi untuk dua orang.
Saya tiba di hotel kira-kira pukul 2.25 petang dan terus sahaja ke lobinya. Lobi hotel ini terletak di Tingkat 9 dan bukannya di tingkat bawah seperti kebanyakan hotel. Lobinya luas dan cantik. Proses daftar masuk sangat cepat dan hotel ini tidak mengenakan sebarang deposit. Sebaik mendapat kad akses bilik saya terus sahaja menaiki lif untuk ke Tingkat 23.
Walaupun saya membuat tempahan bilik Deluxe tetapi saya telah diberi bilik jenis Family Room. Walaupun ini adalah kali kesembilan saya menginap di hotel ini, buat pertama kali saya mendapat bilik jenis ini. Biliknya luas menempatkan satu katil king serta satu katil bujang. Terdapat almari pakaian yang terletak di sebelah kiri pintu masuk dan ianya sangat besar. Di sebelah almari ini terdapat kabinet yang menempatkan peti sejuk mini serta perkakas untuk membancuh minuman. Di sini juga terdapat meja makan serta dua buah kerusi.
Di sepanjang dinding bertentangan dengan kaki katil terdapat meja yang panjang. Di sebelah kanan terdapat satu kerusi yang boleh digunakan untuk membuat kerja pejabat. TV berukuran 50 inci di gantung di dinding bertentangan dengan kaki katil. Bilik yang saya inap ini tidak mempunyai balkoni.
Bilik air pula agak luas yang menempatkan singki, tandas dan juga ruang pancuran. Terdapat gelung paip di sebelah mangkuk tandas dan di ruang pancuran pula terdapat dua jenis pancuran. Ruang pancurannya ditutupi oleh cermin yang seratus peratus lutsinar. Hotel ini menyediakan peralatan mandian yang lengkap.
Kolam renang hotel ini terletak di Tingkat 11 dan saiznya besar. Selain kolam renang dewasa terdapat juga kolam renang untuk kanak-kanak. Di aras yang sama terdapat juga sebuah gimnasium. Hotel ini ada menyediakan parkir di mana parkirnya berkongsi dengan Sunway Putra Mall yang terletak bersebelahan. Untuk parkir hotel mengenakan bayaran RM13 untuk sehari.
Di dalam bilik wifi yang disediakan sangat laju di mana kelajuannya mencecah 271mbps (muat turun) dan 199mbps (muat naik). Untuk telco pula CelcomDigi mencapai kelajuan 447mbps dan Tune Talk pula 345mbps. Hotel ini menyediakan siaran TV yang agak banyak dan kebanyakannya di dalam bentuk HD. Tekanan air di bilik mandi pula kuat.
Untuk sarapan pula ianya di restoran yang terletak di Tingkat 9 iaitu bersebelahan dengan lobi. Hotel ini menyediakan sarapan yang pelbagai tetapi saya merasakan ianya tidak semeriah dahulu. Seperti biasa saya hanya mencuba beberapa menu sahaja termasuklah nasi lemaknya yang sangat sedap bagi saya.
Seperti ulasan saya yang lepas hotel ini sangat sesuai untuk keluarga. Walaupun ianya telah lama beroperasi iaitu sejak Hotel Legend lagi, ianya sangat bersih dan dijaga dengan baik. Harganya pula murah di sekitar RM200 ke RM250 sahaja. Lokasinya juga strategik kerana terletak bersebelahan dengan Sunway Putra Mall. Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, hotel ini terletak bersebelahan dengan Stesen LRT PWTC.
Seperti biasa saya sertakan gambar-gambar yang telah saya ambil. Jika pembaca ingin membaca ulasan saya untuk hotel-hotel yang lain, sila ke ruangan saya di group ini. Jika ingin mengikuti perkembangan staycation saya di hotel-hotel, sila ikuti saya di Facebook. Terima kasih kerana sudi membaca 😁
Sunway Putra Hotel: Trải nghiệm Family Room 9 lần lưu trú giá chỉ 288 RM
